Bfm :: Bila Larut Malam

Informações:

Synopsis

Bila Larut Malam ialah rancangan yang merungkai fenomena moden, tradisional, serta budaya bandar yang berada di sekeliling kita. Sertai kami untuk memahami trend masyarakat dan budaya. Khas untuk mereka yang tidur lewat dan pengembara malam.

Episodes

  • Nudge Theory dan Ekonomi Digital

    05/09/2018 Duration: 23min

    Ekonomi digital telah dilihat sebagai satu destinasi seterusnya dalam memudahkan hidup kita. Penerimaannya semakin meluas, tetapi adakah perkara ini berlaku secara halus, tanpa kita sedari, didorong oleh institusi dan pihak korporat, untuk kepentingan mereka? Dengar perbincangan kami tentang “nudge theory,” dan penggunaanya dalam ekonomi digital, untuk mempengaruhi kita menerima teknologi-teknologi ini. Perbincangan ini adalah berdasarkan artikel The Guardian yang bertajuk “The cashless society is a con – and big finance is behind it”.

  • Nasionalisme Dari Kaca Mata Anderson

    29/08/2018 Duration: 27min

    Sempena kemerdekaan tahun ini, Bila Larut Malam akan cuba memahami apakah itu nasionalisme, dan bagaimana media boleh menyatukan masyarakat dengan latar belakang yang berbeza, berdasarkan pemahaman Benedict Anderson, melalui karya terkenalnya, “Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism.”

  • Pembelajaran Budaya Secara Formal?

    15/08/2018 Duration: 27min

    Masyarakat majmuk di Malaysia kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi, dan walaupun kepelbagaian ini diraih, kita kadang kala masih alpa dalam mengenal budaya masing-masing dengan lebih mendalam. Apakah cara yang terbaik untuk membolehkan kita betul-betul mengenali satu sama lain dengan baik? Adakah mengformalkan pembelajaran budaya di sekolah adalah cara yang patut dipertimbangkan?

  • Macam Mana Boleh Viral?

    08/08/2018 Duration: 36min

    Di Malaysia ini, kita sering disajikan dengan pelbagai macam benda yang “viral” atau tular di media sosial kita. Daripada benda yang membangkitkan kemarahan sehinggalah benda yang kelakar atau menyayat hati, semua benda boleh viral pada masa kini, baik dalam bentuk video, gambar atau artikel. Kenapa sering sangat benda viral di Malaysia? Dan macam mana ianya boleh viral? Penganalisa media sosial menyertai kami dalam episod ini, untuk membantu mencari jawapannya.

  • Menyelam Bundle - Dari Sampah Jadi Permata

    01/08/2018 Duration: 31min

    Kalau anda jenis yang sukakan barangan terpakai atau “vintage”, pasar bundle bukanlah sesuatu yang asing. Pada masa kini, ramai golongan di luar sana yang sudah pandai mencari nilai tersembunyi dalam benda yang terpakai, terutamanya pakaian. Dan kegilaan kepada pakaian bundle ini boleh membuatkan seseorang itu menghabiskan masa berjam-jam “menyelam”, untuk mendapatkan apa yang mereka nak. Dalam episod ini, kami ke Jalan Raja Bot untuk menyelam bersama kaki-kaki bundle yang tegar.

  • Graffiti: Ekspresi Jalanan

    25/07/2018 Duration: 28min

    Kalau dulunya dianggap sebagai satu bentuk vandalisme dan menentang norma, graffiti kini sudah mula diterima, dan telah mendapat tempat dalam sekitar bandar kita. Di manakah bermulanya perubahan tersebut, dan apakah cabaran yang dihadapi artis graffiti di bandar ini, untuk mendemokrasikan seni yang kadang kalanya, bersifat elitis? Bila Larut Malam bercakap dengan dua artis graffiti tempatan, Shade dan Cloakwork, untuk mendapatkan perspektif mereka tentang kerja mereka.

  • Ekonomi Suram, Macam Mana Nak Cari Kerja?

    18/07/2018 Duration: 29min

    Tidak semua pemburu kerja di luar sana berpeluang mendapatkan kerja impian mereka, terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Apabila dihimpit dengan situasi ini, perlukah pemburu kerja berhenti memilih, dan mengubah strategi mereka dalam mendapatkan kerja yang boleh meneruskan kelangsungan hidup mereka? Bagaimanakah cara yang terbaik dan bijak untuk melakukannya? Kami singkap.

  • Krisis Identiti Dalam Dunia Asing

    11/07/2018 Duration: 26min

    Bagi sesetengah orang, identiti adalah komponen yang penting yang menjadi tunjang keperibadian mereka. Pembentukan identiti berlaku pada awal usia, dan dipengaruhi pelbagai komponen seperti persekitaran, sosio-ekonomi, keluarga, nilai-nilai, dan pelbagai macam lagi. Identiti itu senang dikekalkan dalam keadaan di mana persekitaran itu selamat dan selesa, tetapi bagaimanakah sekiranya perkara itu diubah? Adakah kita boleh mengekalkan identiti kita dalam dunia yang asing? Bila Larut Malam teroka.

  • Orientalisme 101 - Pemikiran Binari Dunia Barat?

    04/07/2018 Duration: 41min

    “Orientalisme” mengkaji hubungan Barat-Timur, dengan melihat persepsi dunia Barat ke atas Timur, dan bagaimana ianya mempengaruhi dinamik hubungan tersebut. Bila Larut Malam akan cuba mengupas asas Orientalisme, berdasarkan hasil kerja Edward Said, serta melihat bagaimana teori ini kekal relevan dalam dunia moden yang berkiblatkan Barat, dan kesannya ke atas kita yang hidup di Timur ini. Kami juga menyentuh sedikit hasil kerja “Mitos Pribumi Malas”, yang mempunyai kaitan dengan pemikiran Orientalisme.

  • Silkscreen Printing - Rumit, Tapi Puas

    27/06/2018 Duration: 26min

    Kaedah cetakan “silkscreen printing” semakin popular dalam kalangan mereka yang gemarkan proses penghasilan seni yang lebih bermakna dan peribadi. Bagi mereka yang menghasilkannya pula, proses tradisional yang memakan lebih masa ini lebih membawa kepuasan yang sukar digambarkan. Apakah tarikannya, berbanding kaedah cetakan moden menggunakan mesin yang lebih pantas dan efisien? Kami teroka, bersama Bogus Merchandise.

  • Mengenang Lagu Raya Dahulu

    13/06/2018 Duration: 41min

    Apakah lagu raya pertama yang dimainkan di Malaysia? Dan bagaimana rentak lagu raya itu berubah, mengikut peredaran zaman? Sertai Bila Larut Malam untuk mendengar perubahan lagu raya, dari awal tahun 30an sehingga lewat 80an. Episod ini juga akan meneroka beberapa tema lagu raya yang sering diputarkan.

  • Memahami Falsafah Kapitalisme

    06/06/2018 Duration: 31min

    Kapitalisme adalah satu sistem ekonomi yang bertumpukan kepada pengumpulan kekayaan individu. Perkataan “kapitalisme” itu mempunyai maksud yang positif atau negatif, bergantung kepada falsafah hidup seseorang individu itu. Episod Bila Larut Malam kali ini akan cuba mengupas maksud kapitalisme, falsafah neoliberalisme yang berkait rapat dengannya, serta pengaruh falsafah ini kepada kehidupan masyarakat sedunia.

  • Senibina Praktikal Masjid Kontemporari

    30/05/2018 Duration: 30min

    Kebanyakan senibina masjid di Malaysia mengikut “template” yang sudah sedia lama wujud, berdasarkan pengaruh dari tamadun luar. Kubah dan “minaret” menjadi simbol masjid, tetapi adakah senibina ini perlu dikekalkan? Bolehkah kita memperkenalkan corak rekaan dan senibina yang lebih moden dan kontemporari dalam binaan masjid itu? Dan selain rekaan luaran, bagaimana pula kita boleh memperbaik senibina masjid, dari aspek praktikal, untuk keselesaan jemaah? Bila Larut Malam bercakap dengan arkitek yang pernah membina masjid, untuk mendapatkan perspektif beliau dalam perkara ini.

  • Jalan Telawi - Perintis Pembudayaan Ilmu

    23/05/2018 Duration: 38min

    Suasana politik sekitar lewat 90-an dan awal 2000 yang memanggil pembaharuan telah menjadi pemangkin kepada penubuhan ruang diskusi wacana berfalsafah yang matang. Perbincangan yang pada mulanya dilakukan hanya di kedai kopi, kemudiannya bergerak ke portal jalantelawi.com, sekaligus menjadi perintis kepada pembudayaan ilmu yang kini telah dianggap semakin rancak dan sihat. Bila Larut Malam bercakap dengan individu-individu di sebalik usaha ini, untuk mendengar cerita mereka.

  • Makan Gaji, Jangan Makan Hati

    16/05/2018 Duration: 36min

    Gaji adalah aspek penting dalam kerjaya kita, dan walaupun ianya dianggap sensitif, perkara ini patut dibincangkan dengan telus dan terbuka bersama dengan majikan. Tetapi, perlulah kita melakukan persediaan yang sepatutnya sebelum memulakan rundingan ini. Perunding kerjaya, Ameirul Azraie Mustadza menyertai kami sekali lagi, untuk memberikan bimbingan dalam perkara ini.

  • Adakah Kita Menjaga Data Peribadi Digital Kita?

    02/05/2018 Duration: 28min

    Kempen pilihanraya masa kini yang menyaksikan media sosial digunakan sebagai salah satu gelanggangnya mengingatkan kita kepada kontroversi yang melanda Facebook dan Cambridge Analytica baru-baru ini. Pendedahannya menunjukkan bagaimana data peribadi orang ramai digunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Tetapi, pada masa yang sama, adakah ini sesuatu yang memeranjatkan, berdasarkan bagaimana syarikat-syarikat teknologi gergasi ini menggunakan data kita selama ini? Satu lagi persoalan yang perlu ditimbulkan adalah, apakah tahap kesedaran kita tentang keselamatan data peribadi kita dalam dunia digital?

  • The Ricecooker Archives - Arkib Muzik Rock and Roll

    25/04/2018 Duration: 51min

    Scene muzik underground Malaysia dan Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Sumbangannya kepada dunia muzik dan “subculture” moden adalah amat besar. Tetapi, apakah usaha yang dilakukan, untuk memastikan perjalanan dan gerakan ini sentiasa diingati dan dijadikan contoh, baik untuk kenangan ataupun kajian? Menyedari kurangnya usaha tersebut, Joe Kidd, gitaris band punk Carburetor Dung dan seorang yang telah lama berkecimpung dalam scene underground ini, mewujudkan The Ricecooker Archives. Matlamatnya: mewujudkan satu arkib Rock and Roll Malaysia dan Asia Tenggara, untuk rujukan dan kajian bersama.

  • The Patriots - Membudayakan Wacana Ilmiah

    18/04/2018 Duration: 30min

    Suatu masa dahulu, jarang untuk kita temui bahan bacaan ilmiah berbahasa Melayu yang menyentuh aspek sejarah dunia, sains, falsafah dan macam macam lagi. Kini, kesedaran untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah meningkat, dengan wujudnya lebih banyak wacana yang menggunakan bahasa kebangsaan kita. Salah satu usaha pembudayaan tersebut digerakkan oleh The Patriots, satu entiti yang bercita-cita mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih bijak dan menghayati ilmu. Dengarkan bagaimana mereka ingin mencapai cita-cita tersebut.

  • Menimba Ilmu di Perantauan

    11/04/2018 Duration: 37min

    Bagi mereka yang bernasib baik, melanjutkan pelajaran di luar negara adalah satu peluang yang biasanya tidak akan dilepaskan. Walaubagaimanapun, banyak aspek yang perlu diambil kira, seperti pertembungan budaya dan soalan identiti peribadi. Dalam episod kali ini, kami mendengar pengalaman Rahmah Pauzi dan Aziff Azuddin yang berpeluang belajar di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Bagaimana mereka menyesuaikan diri di sana, dan bagaimana pengalaman tersebut membantu mereka memahami diri mereka sendiri?

  • Ada Apa Dengan Nama?

    04/04/2018 Duration: 25min

    Biasanya, nama seseorang itu akan dikaji untuk melihat keperibadian mereka. Tetapi, adakah keperibadian yang patut kita lihat adalah keperibadian ibu-bapa yang memilih nama anak-anak mereka? Dalam episod ini, Bila Larut Malam akan mengkaji kaitan nama yang diberi kepada anak-anak dengan harapan, kelas, dan aspirasi sesebuah keluarga.

page 3 from 5